• +603-3280 5152/5153/5154 (BJ) / +603-5522 3499 (SA)
  • +6012-340 1740
  • dean_cfgs@unisel.edu.my

UNISEL DIANUGERAHKAN ANUGERAH KHAS STEM

Projek UNISEL “Fun with STEM” telah dianugerahkan Special Award : Most Innovative Project (Anugerah Khas: Projek Paling Inovatif) pada pertandingan National Mentor Mentee STEM Award yang telah berlangsung di PWTC bersempena Malaysia Technology Expo 2018 pada 22 – 25 Februari 2018. Anugerah Khas ini mendapat tajaan daripada Chinese Innovation & Invention Society (TAIWAN). Pertandingan yang dijalankan oleh National STEM Movement ini disertai oleh 46 penyertaan daripada pelbagai IPT seluruh Malaysia yang mempunyai projek-projek bersama sekolah bertujuan untuk menggalakkan pelajar meminati subjek STEM dan mengikuti aliran sains ketika menengah atas.



Pemenang anugerah telah diumumkan sewaktu majlis hi-tea petang semalam (26 Februari 2018) di Eastin Hotel. Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri KPM, YB Dato’ P. Kamalanathan. Anugerah khas telah disampaikan oleh Her Excellency Marzieh Afkham, Duta Iran di Malaysia diiringi oleh Naib Presiden Malaysian Association of Creativity and Innovation (MACRI).



Hasil cetusan idea National STEM Movement, UNISEL yang merupakan salah satu ahli, telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) untuk menjayakan program mentor mentee STEM di peringkat sekolah. Program ini melibatkan seramai 26 orang pensyarah UNISEL sebagai fasilitator dan 38 orang pelajar UNISEL sebagai mentor. Konsep mentor mentee STEM ini merupakan inisiatif yang menghubungkan pelajar-pelajar sekolah selaku mentee dengan institut pengajian tinggi. Pelajar UNISEL yang menjadi mentor dibimbing oleh fasilitator dari kalangan pensyarah UNISEL. Mentor dilatih untuk berkomunikasi dengan pelajar sekolah dan didedahkan dengan teknik mengajar yang menarik dan mengajukan soalan-soalan yang merangsang mentee untuk berfikir dan sekaligus menarik minat mereka dengan pengetahuan sains.



Bergerak dengan nama projek UNISEL “Fun with STEM”, Institut BioIT, Pusat Pengajian Asasi dan Umum (CFGS) dan Jabatan Sains dan Bioteknologi (Jasbio) telah bekerjasama membangunkan modul dan turun padang ke 6 buah sekolah pada 2017 di sekitar daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor. Sekolah-sekolah yang terlibat termasuk SMK Rantau Panjang, SMK Sg Burong, SMK Sg Besar, SMK Munshi Abdullah, SMK Taman Bunga Raya 1 dan SMK Bandar Baru Batang Kali.

Menurut Ketua Projek, Dr. Hazeeq Hazwan Bin Azman, modul yang diketengahkan adalah unik dan telah menarik perhatian juri. Modul yang bersifat amali dan menerapkan aplikasi harian memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan sains dalam kehidupan seharian. Mengambil peluang sewaktu belajar PhD di United Kingdom, beliau banyak mengambil ilham sewaktu melawati muzium dan pelbagai festival dan pameran STEM di sana. Bersama penasihat projek, Prof (E) Dato’ Dr. Abdul Latif, tokoh akademik negara yang unggul, beliau dan pasukan telah membangunkan modul yang mudah dilakukan di rumah menggunakan peralatan dan bahan runcit sahaja. Perkara ini bagi memastikan modul dapat dilaksanakan sendiri oleh ibubapa dan guru di masa hadapan dan mendapat sokongan mereka untuk bersama-sama menggalakkan anak-anak pelajar mengambil aliran sains.



Menggunakan tanda pagar (hashtag) #UniselfunwithSTEM dan profil instagram @stemunisel, modul yang terdiri daripada Teknologi DNA, Mikrobiologi, Kultur Tisu dan Kimia ini akan diperkemaskan dan dibukukan dalam masa terdekat. Selain itu, beberapa buah sekolah termasuk MRSM dan SBP telah menyatakan minat untuk mengikuti program ini. Selain itu, kesungguhan UNISEL mendekati sekolah luar bandar dan sekolah agama bukan kerajaan turut memberi kekuatan kepada projek ini sekaligus menambat hati juri. Semoga aktiviti STEM seperti ini dapat menyedarkan masyarakat tentang kepentingan bidang STEM untuk merealisasikan Transformasi Negara 2050 (TN50) sekaligus memacu ke arah negara maju.

Need More Information?

Our faculty provides an exposure to real working environment via various programmes and the latest news about them will be announced through various communication channels, including Facebook and this website.

Contact Us