• +603-3280 5152/5153/5154 (BJ) / +603-5522 3499 (SA)
  • +6012-340 1740
  • dean_cfgs@unisel.edu.my

“Cabaran Pengajian Asasi Menuju Industri 4.0 : Dari Sudutpandang Membina Manusiawi”


Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Segala Puji Bagi ALLAH Tuhan Tuan Punya Seluruh Alam.
Selawat buat Nabi Junjungan Muhammad, Pembawa Rahmat Seluruh Alam.

Pengajian Asasi atau pra-universiti secara kebiasannya merupakan program akademik 3 semester (1 tahun) yang dibentuk khusus untuk menyediakan pelajar-pelajar lepasan SPM untuk menyambung kembara ilmu mereka ke peringkat Sarjana Muda. Dalam dunia menuju ke arah globalisasi total, tentunya cabaran amat besar dalam menghadapi gelombang kemajuan industri yang dikenali sebagai Industri 4.0. Bicara ucaptama ini tidak tertumpu kepada persedian akademik semata-mata dalam menghadapi cabaran berkenaan. Fokus ucaptama ini adalah untuk membincangkan secara asas dan ringkas mengenai pengimbangan Akal dan Hati dalam usaha menyediakan pelajar Tahun Asas yang benar-benar holisitik.

Tatkala menulis mesej ini, saya secara kebetulan sedang menelaah sebuah buku yang saya beli pada tahun 2014 namun belum berkesempatan untuk membaca dengan mendalam. Buku tentang Allahyarham Ahmad Ammar. Dalam halaman 18, tertera satu catatan yang ditulis oleh Allahyarham pada 4 Mei 2006. Catatan oleh seorang anak muda berusia 13 tahun waktu itu. Allahyarham menyenaraikan 10 cita-cita beliau dengan hanya 1 dibiarkan tanpa dipotong.

Askar
Saintis
Doktor Haiwan
Engineer (sic)
Arkitek

Pengkaji
Ustaz
Juruterbang
Pemain bolasepak
Usahawan

Jika dilihat dari 10 cita-cita beliau, hampir semua asas akademiknya disediakan di peringkat pengajian Tahun Asas. Program seperti Asasi Komunikasi, Bahasa Arab, Pengajian Islam, Sains, Bahasa Inggeris, Pengurusan dan Teknologi Maklumat pasti menyediakan ruang untuk pelajar memperoleh semua bidang yang ditulis dan kemudiannya dipotong oleh Allahyarham Ahmad Ammar. Yang biasa terlepas pandang adalah yang tidak dipotong oleh beliau.

Dalam pada itu, bandingkan cita-cita Allahyarham dengan penulisan ringkas Dawn Dugan. Menjelang Industri 4.0, Dugan menerusi laman sesawang Salary menyenaraikan beberapa kerjaya yang mendapat perhatian tinggi dari pemain industri global. Antara kerjaya yang tersenarai adalah Teknologi Maklumat, Kewangan, Analisis Data, Penjagaan Kesihatan, Tenaga Alternatif, Perundangan Antarabangsa, Pemasaran dan Multimedia. Dunia dalam era Industri 4.0 satu era yang mengfokus globalisasi mega berpaksi informasi teknologi atau digital teknologi, nano teknologi dan bioteknologi. Perubahan dari industri 3.0 ini tentunya sangat dahsyat dan mencabar.

Kepedulian Sosial Yang Tinggi

Cabaran inilah perlu diterjemah kepada para pelajar Tahun Asas. Cabaran yang sangat sangat unik. Mereka perlu mengubah pola pemikiran dari pelajar menengah menjadi mahasiswa tulen dan kemudiannya manusia sejagat. Mereka perlu menjadi “maha” atas kesiswaan mereka. Tentunya mereka mempunyai tanggungjawab jauh lebih besar daripada remaja lain. Mereka perlu berbeza daripada yang lain. Mereka berpeluang untuk memajukan diri bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk agama dan negara. Pesan Bapak Doktor Anies Baswedan, mantan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia yang kini Gebenor Jakarta sangat relevan: “Mahasiswa jangan keluar dari universiti hanya dengan selembar kertas bertuliskan transkrip tau bertuliskan Ijazah. Masa depan tidak mungkin boleh dibangun hanya dengan selembar kertas itu. Anda perlu menjadi manusia baru, lebih dari sekadar peneliti, lebih dari sekadar pengajar. Harus menjadi PEMIMPIN. Anak-anak muda yang kata-katanya, langkahnya mampu membuat perubahan”.

Keunikan mereka perlu dibentuk untuk membentuk Malaysia akan datang. Cabaran utama tentunya melahirkan pelajar Asasi yang holistik, inklusif dan bersedia untuk terus dibentuk di peringkat lebih tinggi. Keperluan ini semakin mendesak tatkala dunia menuju Industri 4.0 (Mohamed Azmin Ali, 2016). Selain fokus keperluan akademik yang memenuhi keperluan Industri 4.0, cabaran paling besar adalah bagaimana membentuk manusia dan pemimpin dari kalangan pelajar Asasi dalam waktu ketika yang penuh mencabar. Maka disinilah kepentingan membentuk karekter dan membina insan. Cabaran utama tentunya dalam mewujudkan pelajar Asasi yang terlatih dalam dua trek, akademik dan kepimpinan. Semua universiti telah lama menumpukan trek akademik. Sememangnya universiti ditubuhkan untuk melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik. Namun, bagaimana untuk menjadikan pelajar cemerlang di luar ruang kuliah. Sekali lagi, nama Allahyarham Ahmad Ammar pasti boleh dirujuk. Dalam cita-cita akademik beliau, matlamat utama ingin menjadi penyelidik. Akhirnya beliau cemerlang dalam kedua-dua bidang walaupun cukup awal dijemput Ilahi. Ini cabaran besar pusat Asasi, melahirkan pelajar yang mampu mengakar masyarakat selain cemerlang dalam akademik.

Penawaran Subjek yang merentas program akademik.

Kemunculan bidang akademik yang semakin kompetitif membawa kepada cabaran mencari “common subjects” untuk disesuaikan kepada semua program Tahun Asas. Usaha ini akan membolehkan para pelajar pelbagai bidang mampu membicarakan subjek-subjek berkenaan dengan cukup mahir. Subjek-subjek ini adalah seumpama subjek teras yang diambil di peringkat sarjana muda. Ianya perlu dipilih berdasarkan keperluan dan matlamat untuk apa subjek berkenaan ditawarkan. Subjek berpaksi kemanusian ini pasti akan memberi impak besar untuk pelajar peringkat Tahun Asas jika ditawarkan secara konsisten.

Pengajian Asasi dan Umum di Malaysia perlu memberi fokus kepada penawaran subjek-subjek teras yang mampu memberi ruang untuk pelajar berkembang. Subjek seperti pemikiran kritis, skil komunikasi, hak asasi, pengajian keperluan khas, pengurusan projek, pengucapan awal umpamanya adalah penting bagi mengukuhkan lagi skil dan corak pemikiran mereka. Ini juga selaras dengan dasar kerajaan negeri Selangor yang inginkan graduan yang bersedia untuk menempuh alam bekerjaya.

Usaha Membentuk Karekter dan Bina Insan di peringkat Asas.

Jika disorot isu kualiti universiti dari sudut holisitik, tentuya isu memanusiakan graduan menjadi antara paksi utama. Era moden telah membincangkan isu ini seawal 90 tahun yang lalu. Peranan universiti secara praktis boleh digambarkan menerusi pandangan Siddiq Fadhil (2016) yang secara tegas menyatakan universiti tidak cukup berperanan hanya melahirkan graduan yang cemerlang akademik. Jika itu berlaku, universiti sebenarnya adalah setaraf dengan apa yang ditermakan “monkey training centre”. Yakni, universiti jangan hanya mampu melahirkan pelajar yang mahir dalam bidang kepakaran akademiknya sahaja.

Pendita Zaaba sejak 1920-an mengkritik apa yang ditermakan sebagai “miskin perangai” sebagai salah satu punca sukarnya memajukan pendidikan orang Melayu (Ermy Azziaty Rozali & Mohammad Redzuan Othman). Dalam era yang hampir sama, ulama Patani, Haji Sulong turut memperjuangkan isu kepentingan pendidikan holisitik yang sama tatkala cuba membawa obor pendidikan berpaksi Islah dan Tajdid di Selatan Thai (Hamdan Mohd Salleh, 2010). Berkaitan pendidikan, Za’ba (1927) dengan jelas menulis :

“Pelajaran otak atau kepandaian sekolah atau kolej sahaja, istimewa pula jika yang demikian itu terlalu rendah dan tiada melebihi daripada kepandaian membaca, menulis, berkira-kira dan membuat kerja-kerja kerani dan mengenal akan kesedapan karangan-karangan yang rendah dan kecil. Pelajaran yang dikatakan cukup itu hendaklah termasuk di dalamnya pelajaran-pelajaran berniaga, berjual-beli, pertukaran, membuat barang-barang, bercucuk tanam dan berbagai-bagai perusahaan dan pekerjaan mengeluarkan hasil. Dalam pada itu hendaklah pula dimaksudkan tiap-tiap seorang termesti belajar dan mengetahui kesemuanya itu.”

Sedekad selepas Za’ba, tokoh motivator Barat Napoleon Hill turut membawa isu yang sama. Hill (1937) dalam buku Think and Grow Rich meringkaskan dua kritiria utama manusia yang cemerlang. Dua ciri berkenaan adalah manusia yang sentiasa sibuk namun punya matlamat yang jelas dalam kerjaya dan manusia yang sanggup melabur masa senggang dan wang untuk terus menuntut ilmu. Ternyata pandangan Za’ba, Haji Sulong dan Hill masih relevan hingga ke hari ini. Pembinaan karekter, jati diri dan sikap yang mampu mengakar masyarakat akan melengkapkan kecemerlangan akademik mahasiswa. Ketiga-tiga pandangan sarjana ini boleh dirumus menerusi pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas (1977) yang menyatakan bahawa tujuan menuntut ilmu dalam Islam adalah untuk menerapkan adab dan keadilan dalam diri insan.

Paling mencabar adalah bagaimana untuk membina generasi manusia yang hebat berteraskan nilai-nilai ketuhanan. Al-Qur’an menjelaskan dengan cukup menyeluruh ciri-ciri mulia generasi ulul al-bab iaitu golongan yang memiliki sesuatu kefahaman yang mendalam. Ini amat jelas dalam Al-Qur’an terutama menerusi Sura Ali’Imran (190-194), al-Ra’d (19-22), Mukminin (1-10), al-Furqan (63-74) dan al-Zumar (18). Istilah Ulul al-bab ini tertera 16 kali dalam al-Qur’an. Selain itu, ia juga memberi penekanan kepada keteladanan unggul yang terhebat iaitu peribadi Rasulullah sendiri.

Ahmad Azam pada tahun 2014 telah merangkumkan formula untuk melahirkan generasi di atas dengan cukup ringkas namun sangat tepat. Tujuh ringkasan berkenaan adalah seperti butiran berikut:

  1. Meletakkan wawasan Ummatik
  2. Memberikan nama yang sesuai dengan wawasan
  3. Mendidik ketinggian adab
  4. Menghayati al-Qur’an
  5. Memelihara solat dan menunai tahajjud
  6. Menguasai ilmu yang diperlukan pada zaman itu
  7. Menguasai bahasa-bahasa asing

Komuniti Intelektual Yang Mengakar Masyarakat

Pelajar peringkat ini juga perlu didedahkan dengan kerja sosial di luar ruang kuliah. Menerusi cara ini, akan lahir mahasiswa yang cakna komuniti. Cakna komuniti inilah akan melahirkan pemimpin yang punya hati. Pengalaman bersama masyarakat di bandar dan di luar bandar ini pasti akan tersemat di dalam diri mahasiswa. Bukan itu sahaja, usaha mengakar masyarakat ini adalah usaha untuk menyiapkan pemimpin masa depan. Ini kerana, mereka bukan kelayakan akademik sahaja malah punya kefahaman tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka bukan sahaja melaksanakan aktiviti masyarakat, mereka juga menjadi inspirasi kepada anak-anak dalam komuniti yang mereka santuni.

Atas hasrat itu, CFGS UNISEL melaksanakan program #CDFSMengakarMasyarakat sejak 2016. Usaha ini selaras dengan usaha UNISEL menjadi peneraju transformasi menerusi pimpinan Naib Canselor UNISEL, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman. Setelah memperkenalkan Dermasiswa Pengajian Percuma Tahun Asas bermula Mei 2016, pelajar-pelajar ini didedahkan dengan kerja sosial berimpak tinggi. Tiga teras utama projek ini adalah Upaya OKU, English untuk Luar Bandar dan Kepelbagaian Dakwah. Ahli akademik CFGS UNISEL terlibat secara langsung bersama para mahasiswa Tahun Asas, MPU, Bahasa Inggeris dan Bahasa Asing turun ke lapangan untuk melaksanakan projek kemasyarakatan. Hasrat utama tentunya melahirkan pelajar yang holistik yang cemerlang bukan sahaja dalam ruang kuliah tapi di luar ruang kuliah.

Cabaran Pendidikan Inklusif dengan Fokus kepada Pelajar Berkeupayaan Berlainan

Kisah seorang pemuda Amerika Syarikat bernama Rick Hoyt yang mengalami Palsi Cerebral kerap menjadi rujukan para motivator. Video beliau di Youtube sentiasa menjadi tontonan umum termasuk di sekolah-sekolah di Malaysia. Penulis buku “One Letter at A Time” (2012) ini adalah satu contoh manifestasi kejayaan hak OKU dalam sejarah pendidikan tinggi di Amerika Syarikat. Sebelum Hoyt, OKU berjaya di Barat adalah nama-nama besar dunia modem seperti Alexander Graham Bell, Helen Keller, Albert Einstein, Thomas Edison dan Henry Ford. Stephen Hawking, Mark Zukerberg dan Richard Branson adalah tokoh dari kalangan OKU era kontemporari. Mengapa mereka berjaya walaupun OKU? Kerana peluang pendidikan dibuka seluas-luasnya kepada mereka. Dalam kes Rick Hoyt, beliau seorang pemuda yang alami kelumpuhan otak, tidak mampu bertutur dan bergerak namun menjadi manusia “non-verbal” pertama yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda. Malaysia juga menyaksikan Ng Chee Kyun sebagai OKU kelumpuhan otak pertama memperoleh Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2007.

Data WHO 2012 menganggarkan jumlah OKU di dunia adalah sekitar 15% dari jumlah penduduk keseluruhan. Jika penduduk Malaysia sekitar 30 juta, maka OKU adalah sekitar 4.5 juta. Paling menarik, sebahagian besar adalah dalam kategori “hidden disabilities” seperti masalah pembelajaran, autistik, dyslexia dan asperger. Mereka ini terutama dyslexia dan asperger mampu menyambung pelajaran di peringkat tinggi namun perlu fasilitasi khusus. Ini disokong oleh data terkini yang menyatakan bahawa 16% pelajar yang mengalami masalah pembelajaran menyambung pengajian ke universiti. Jumlah ini tentunya besar kerana daftar OKU JKM 2012 menunjukkan sejumlah 109,610 adalah di bawah kategori Masalah Pembelajaran.

CFGS berhasrat mengambilkira pelajar-pelajar berkeperluan khas ini. Orang Kelainan Upaya (OKU) atau lebih sesuai ditermakan dengan Berkeupayaan Berlainan ini kerap sukar mendapat akses pendidikan yang sempurna. Pendidikan yang inklusif sebenarnya satu hak yang kerap dilupakan. Kesediaan Pusat-Pusat Pengajian Asasi melaksana dasar menerima pelajar sebegini pasti menambah barkah dalam usaha mendidik mahasiswa. Cabaran ini perlu dibincang seluasnya andai pengajian peringkat asasi benar-benar ingin bersedia di dalam era Industri 4.0.

Kesimpulan

Boleh dirumuskan bahawa, pusat asasi perlu bergerak untuk mencapai teras-teras berikut:

  1. “University of public urge”. Kepentingan UNISEL dan CDFS dalam aspek kemanusiaan
  2. Ada agenda sosial kepada rakyat yang perlu mendapat manfaat dari universiti - perlu ada kepedulian sosial yang tinggi
  3. Perlu menjadi pusat pendidikan tinggi yang komited terhadap pembinaan agen melahir manusia yang lebih baik
  4. Mewujudkan komuniti intelektual dan inklusif termasuk pelajar berkeupayaan berlainan
  5. Perlu ada “COMMON SUBJECTS” – mahasiswa dalam apa jua bidang boleh berdialog tanpa rasa janggal

Cabaran dan amanah tentunya cukup besar untuk peneraju pusat-pusat Asasi menuju dunia penuh mencabar dalam era Industri 4.0. Namun cabaran ini pasti mampu digalas jika disemai dengan pendekatan Islah yang berpaksikan pembentukan insan yang seimbang beserta ilmu yang integratif, inklusif dan holistik. CFGS UNISEL tentunya memegang amanah cukup besar dalam usaha membangun Selangor yang lebih maju. Usaha bersama ini pasti akan membuahkan hasil yang cukup hebat dalam melahirkan insan mithali, manusai yang mampu mengharung arus perubahan dalam Industri 4.0.

Sesungguhnya Hanya Allah yang Maha Tahu atau lebih tahu segala sesuatu dari kita. Hanya Allah yang Maha Benar dan Pemilik Kebenaran Mutlak.

Sekian, Terima Kasih.


Hamdan M Salleh, Phd, Prof Madya
#AmazingCFGSUnisel

Need More Information?

Our faculty provides an exposure to real working environment via various programmes and the latest news about them will be announced through various communication channels, including Facebook and this website.

Contact Us